DEKAT DI HATI
1Janda Baik, Pahang
“MAK saya ibu tunggal…”
Aku tunduk. Suasana sepi. Aku tahu mereka di sekelilingku menanti aku meneruskan kata-kataku.
“Mak saya ibu tunggal… tapi hidup saya tidaklah begitu susah. Dia cikgu… setakat makan, pakai dan lain-lain keperluan kami adik beradik kira okeylah jugak. Saya anak sulung… hanya ada seorang adik perempuan yang empat tahun lebih muda dari saya…”
Aku terhenti. Tidak tahu apa lagi yang perlu aku ceritakan. Encik Ghazali menapak perlahan-lahan mengelilingi kami yang duduk di lantai dalam sebuah bulatan. Kemudian dia terhenti dan menoleh bila aku belum lagi menyambung ceritaku. Matanya tepat memandangku. Dia mengangguk sebagai isyarat agar aku teruskan bicara…
“Saya tak tahu…”
“Kuat sikit…” Encik Ghazali mencelah.
“Saya tak tahu mengapa ibu saya membezakan kasih sayang antara saya dan adik saya Izzati…”
Encik Ghazali duduk berlunjur bersilang kaki pula sambil berpeluk tubuh. Badannya tersandar di rak buku. Matanya walaupun tidak merenungku, tetapi aku tahu telinganya menanti suaraku lagi.
“Adik saya selalu dilebihkan. Sejak kecil, apa sahaja yang dia inginkan dia akan dapat. Mak saya pasti penuhi permintaannya. Sebaliknya saya jarang dapat apa yang saya hendak. Dia… dia… tak adil!”
Aku terhenti lagi. Aku menoleh ke kanan. Hassan sedang melakar sesuatu di atas kertas yang dilapik dengan fail kursus kami. Aku menoleh ke kiri. Muni sedang mengikis kukunya dengan ibu jari. Mereka mendengar kisahku meskipun pada zahirnya sedang melakukan hal masing-masing.
“Tak adil? Cuba beri contoh…” Encik Ghazali mencelah.
“Tak adil kerana adik saya mendapat layanan lebih. Bila tiba harijadi Izzati, dia dapat hadiah yang mahal! Masa kecil dulu dia pernah mendapat anak patung Barbie dengan set pelbagai pakaian dan rumah mainan. Saya hanya dapat buku!”
“Bukankah lebih baik dapat buku dari mainan?” Sampuk Encik Ghazali lagi.
“Itu saya setujulah. Tapi tak ada hadiah lain ke? Layang-layang ke, sebiji bola ke, rollerblade ke…”
“Hai… dah besar begini pun ‘ndakkan hadiah macam tu?”
“Ha, ha, ha!” Mereka yang berada di dalam bilik itu tiba-tiba meledakkan ketawa panjang. Suara Hassanlah yang paling lantang meskipun dia amat pendiam. Zamri, Jabar dan Habsah turut menyeringai. Di sebelah kiriku pula, Muni, Asyikin dan Sabrina hanya tersengih bila mendengar usikan Encik Ghazali. Tetapi Nurul kelihatan merenungku sambil menggigit jari.
“Itu contoh masa kecil, Encik Zali. Semakin kami membesar, jenis hadiah pun semakin sesuai dengan usia kami. Adik saya mula mendapat hadiah baju, set make-up, barang kemas... tapi saya sampai sekarang menerima buku, buku, buku!”
“Buku apa? Buku Doraemon?” Zamri melawak.
“Ha, ha, ha…” Sekali lagi bilik itu dihingari dengan suara ketawa kami termasuk aku sekali.
Tetapi Nurul tertunduk sambil berpeluk tubuh.
“Bukan buku Doraemon, tapi buku sejarah. Kalau sewaktu kanak-kanak saya dapat buku cerita dongeng seperti Batu Belah Batu Bertangkup… bila meningkat dewasa saya dihadiahkan buku Panglima Awang. Kini mak saya hadiahkan buku…”
“Tajul Muluk!” Zamri mencelah lagi.
“Ha, ha, ha.” Hassan sahaja yang tertawa besar dengan lawak Zamri sementara yang lain tidak tersengih pun kerana tidak faham maksud ‘Tajul Muluk.’
“Kenapa awak seorang sahaja yang ketawa bila Zamri menyebut Tajul Muluk, Hassan?” Tiba-tiba Encik Ghazali menyoal.
“Alah, buku tu… buku apa tu?” Hassan teragak-agak menjawab.
“Hah, buku apa, kalau engkau tau?” Soal Zamri pula ingin tahu samada Hassan tahu buku apakah itu.
“Buku apa tu?”Soalku kepada Hassan. Sengaja buat-buat tak tahu bagi menceriakan lagi suasana.
“Buku Tajul Muluk tu ialah buku yang ada hal-hal petua, mencari nama sesuai, petua-petua untuk suami isteri… Bab seks pun ada!” jawab Hassan sambil tersengih.
“Wuuuuuuu… ha, ha, ha!” Sabri dan Jabar menyampuk lalu ketawa berdekah-dekah. Sabri tertawa sambil menolak bahu Jabar hingga budak gempal itu terguling sambil mengekek. Encik Ghazali tertawa perlahan. Meskipun suaranya tidak kedengaran, bahunya kelihatan terhenjut-henjut. Rakan-rakanku yang perempuan hanya tersenyum malu.
‘BAMMMMMM!!’
Tiba-tiba sebuah fail kertas dengan isinya bertebaran di atas lantai parquet bilik itu. Suasana serta merta sepi.
“Ini sesi kenal diri ke, sesi lawak bodoh?”
Nurul yang tiba-tiba sudah bangun sambil mencekak pinggangnya menikuskan kami. Dengan wajah yang mencuka Nurul melangkah ke pintu lalu memulas tombolnya.
“Nurul… awak hendak ke mana?” soal Encik Ghazali.
‘Dummmmmm!’ Daun pintu berdentum bila dihempas. Bunyinya menggaung kerana banglo itu terletak di pinggir hutan. Encik Ghazali bingkas bangun dan berlari ke arah pintu.
“Huaaaaaaaa…” kedengaran suara tangisan menggema di sebalik pintu. Suara itu makin menjauh.
“Nurul…!!!!” Encik Ghazali memanggil sebaik sahaja beliau menguak daun pintu dan keluar dari bilik kami.
“Nuruuuuuuul…” Kini suara Encik Ghazali pula makin menjauh.
Kami memanjangkan leher ke arah pintu yang tertutup perlahan-lahan sambil tertanya sesama sendiri.
“WOOOOOT… Woooooot… Wooooooot…” Suara burung jampuk bergema dan bersahut-sahut memecah kesunyian pinggir hutan itu. Aku memandang ke atas pokok secara spontan. Sengaja mengikut naluriku.
Tiba-tiba kakiku terasa sejuk. Aku memandang ke bawah. Memang aku tak nampak apa-apa kerana suasana gelap. Meskipun aku membawa lampu suluh kecil bersaiz sebatang pen, namun sengaja aku tidak nyalakan kerana hanya ingin menggunakan deria rasa aku sahaja. Aku tidak mahu nyalaan lampu suluh akan mengganggu Encik Ghazali yang kurasa berada kira-kira 100 meter di hadapan.
“Halamak…” desisku. “Enal… engkau ke kiri sikit. Pijak atas dahan patah tu. Kat belah aku ni ada lopak. Kaki aku dah lencun ni.”
Aku menarik kaki kananku dari lopak itu untuk segera memijak tempat yang keras. Aku terlupa tindakan aku itu menyebabkan tekanan kaki di dalam kasutku mengakibatkan air lopak itu memancut keluar. Kini betisku pula terasa sejuk. Bau tengik lopak itu singgah ke hidungku. Zamri yang berada di belakangku pula menginjak ke kiri sambil menggunakan bahuku untuk berpaut.
“Hisy… badan engkau tu dahlah gemuk. Kalau engkau tarik aku, nanti aku jatuh dengan engkau, engkau sekali kat dalam lopak ni!”
Zamri menyeringai. Walau pun dalam gelap, aku masih boleh melihat sebaris giginya. Zamri kawan aku ni memang montel. Kuat makan, kuat tidur, tapi kuat belajar. Kalau makan mesti dua… dua burger, dua gelas air, dua pinggan nasi, dua biji pisang, hatta dua mangkuk aiskrim! Kalau tidur pun dua juga; duapuluh empat jam!
Bila hari cuti, dia hanya akan bangun untuk sembahyang dan minum segelas air dan kemudiannya dia akan ‘babam’ mengikut istilahnya. Tapi kalau belajar memang kuat dari orang lain. Di musim peperiksaan, masa tidur dan belajarnya berselang-seli tanpa henti hingga santak ke waktu peperiksaan.
Aku takut dengan cara dia belajar kerana tidur-tidur ayam hingga ke pagi. Aku takut dia boleh black-out. Tapi dia tersengih sahaja bila aku menegurnya. Memang dia sesuai dengan program pembelajarannya kerana dia tak pernah gagal walaupun keputusannya cukup-cukup makan sahaja.
“LEAVE me alone!” jeritan Nurul kedengaran.
Aku dan Zamri terpempan. Perlahan-lahan kami melangkah menghampiri suara itu. Kami nampak susuk tubuh Encik Ghazali berbalam dalam kegelapan pinggir hutan itu. Kelihatan dia terbongkok-bongkok lalu menguak dedaunan. Pastinya untuk mengintai dan mempastikan kedudukan Nurul.
Ketika Encik Ghazali mengejar Nurul ke pinggir hutan dia tidak langsung meminta bantuan kami untuk turut serta. Zamri yang kaki sibuk menarik lenganku agar turut turun mengekori jejak Encik Ghazali kerana mana tahu boleh membantu jika diperlukan. Kawan-kawan yang lain memang aku cadangkan tinggal sahaja di banglo menanti kami. Kataku, jika sejam kami tak pulang, mereka boleh menyusul.
“Awak kena balik ke banglo. Kalau ada masalah biar kita selesaikan sama-sama.” Kedengaran suara Encik Ghazali.
“No! You all bukannya buat sesi kenal diri! You all main-main. Buat kelakar. Kutuk kisah silam orang lain.” Nurul menjawab.
“Semua tu usik mengusik untuk ceriakan suasana, Nurul. Awak tak bolehlah ambil serius perkara macam ni.”
“Kalau kita tak serius tentang kisah masa lalu, macam mana nak serius tentang masa depan?”
Aku dan Zamri terpaku mendengar setiap biji butir perdebatan di antara Nurul dan Encik Ghazali. Kami berhenti untuk menapak menghampiri kerana khuatir mengganggu ‘sesi kaunseling’ di pinggir hutan itu. Tiba-tiba aku terasa nafasku sesak.
“Woi, jangan hembus asap rokok engkau tu kat muka aku, Nal. Nanti aku batuklah!” Aku bersuara perlahan tetapi tegas. “Padamkan api rokok tu! Nanti Encik Ghazali nampak!”
Zamri menyeringai lagi. Kini dia menyembunyikan cahaya nyalaan api rokok dengan tapak tangannya. Dia terus lagi menghisap tanpa mempedulikan larangan aku. Zamri bukan sahaja degil tapi seorang penagih rokok.
Di dalam poket bajunya pasti ada sekotak rokok yang terselit. Kadangkala ada dua buah kotak rokok yang disimpan kalau dia memakai kemeja dua poket. Sebab itu aku mengelarnya sebagai budak lelaki yang ada tetek empat persegi!
“Okeylah, Nurul… saya mengaku saya tersilap kerana mempersendakan kawan-kawan awak. Mari kita balik. Saya akan mintak maaf dengan Izuddin di depan awak dan kawan-kawan yang lain.”
“Saya tak suruhpun Encik Zali minta maaf! Encik Zali tak salah apa-apa!”
“Kalau saya tak salah, kenapa Nurul marahkan saya?” Encik Ghazali kedengaran menjawab sepatah demi sepatah. Sebagai seorang kaunselor, tentunya dia mahu menurunkan amarah Nurul dengan bercakap lambat-lambat dan lembut.
“Saya tak marah pun Encik Zali.”
“Oleh kerana saya tak bersalah dan Nurul pun tak marahkan saya… apa kata kita pulang saja ke banglo untuk berehat. Pakcik tukang masak tentu dah buat milo. Lepas minum milo kita sembahyang Isyak dan terus tidur. Kita sambung sesi kita besok pagi. Setuju tak, Nurul?”
Suasana sunyi. Aku menoleh ke arah Zamri yang kebetulannya menoleh juga ke arahku. Lima saat, sepuluh saat, lima belas saat suasana sunyi.
“Nurul…” Encik Ghazali memanggil.
“Herhh… herhhh… herhhhh… Hiiiiiiiiiiiiiii…. Apa ni? Makkkkkkkkk!!!!!!!”
“Nurul!!!” Encik Ghazali menyeru lagi.
Kedengaran bunyi semak samun diredah. Kelihatan bayangan Encik Ghazali bergerak pantas ke hadapan. Secara spontan aku dan Zamri menuruti.
“Kenapa dengan Nurul tu? Eh, aku suspenslah!” Zamri berbisik cemas.
“Aku pun suspens. Tapi jangan panik, Nal! Kalau ada bahaya kat depan tu kita tawakkal ajelah!” jawabku spontan walaupun dalam hatiku terasa cuak juga.
“TIGA ekor! Gemuk, gemuk semuanya!” kata Encik Ghazali.
Aku sudah mencangkung memerhati dengan sedikit cemas. Benar, pacat-pacat yang sedang asyik menghisap darah di betis kiri Nurul sudah kelihatan gemuk. Pacat adalah sejenis lintah yang menghisap darah. Ia mengeluarkan sejenis cecair bernama hirudin yang boleh mencairkan darah.
Oleh kerana air liur pacat mengandungi sejenis bahan pelali, gigitannya tidak akan dirasai pemangsa di peringkat awal kerana tidak menimbulkan apa-apa kesakitan. Oleh kerana pacat boleh mencairkan darah, ia mula digunakan untuk perubatan moden khususnya bagi mengubati luka pembedahan mahupun dalam proses penyembuhan pemindahan tisu kulit.
Aku suluh ke betis kanan gadis itu. Tak nampak pun ada pacat di situ. Tetapi bila cahaya lampu suluhku menyusur ke kakinya pula kelihatan seekor pacat baru sahaja mendarat ke atas buku lali Nurul. Lekas-lekas aku kuis dengan lampu suluh itu.
Cahaya lampu suluhku beralih pula ke wajah Nurul. Dia yang duduk tersandar di banir pokok segera menutup matanya kerana silau. Bagaimana pun aku dapat menangkap wajahnya yang tidak pun kelihatan cemas. Aku hairan seketika tetapi tidak mahu bertanya dalam situasi itu.
“Suluh ke sini sikit,” Encik Ghazali memerintah. “Enal, beri rokok kamu.”
Zamri yang sejak tadi tunduk seperti murukuk segera membuang abu rokok sebelum memberikannya kepada Encik Ghazali.
“Buat apa kamu buang abunya…” Encik Ghazali mengeluh sambil menyedut rokok itu beberapa kali untuk memperbanyakkan abunya. Perlahan-lahan puntung rokok itu didekatkan kepada seekor pacat. Abu rokok yang jatuh ke tubuh makhluk itu terus menjadikan ia mengerekut dan terus gugur. Perbuatan itu diteruskan oleh Encik Ghazali ke atas dua lagi makhluk itu. Kedua-duanya juga gugur tergolek ke tanah. Kemudian, puntung rokok itu terus dibuang ke lopak berdekatan.
“Dah?” Tanya Nurul selamba.
“Okey.” Jawab Encik Ghazali ringkas.
“Ni, ha… satu lagi,” Nurul terus menghulurkan lengannya. Terdapat seekor lagi pacat berhampiran dengan sikunya.
Zamri segera tampil untuk menjatuhkankan abu rokoknya ke atas makhluk itu. Encik Ghazali hanya membiarkan Zamri menggugurkan pacat sambil bercekak pinggang. Aku tersengih sendirian sambil menggeleng. Zamri. Sebagai remaja yang tak pernah tinggal di kampung, aku tabik dengan sikapnya yang cepat sekali menangkap ilmu baru. Dia cepat belajar sesuatu melalui pemerhatian.
Sejak tadi lagi dia asyik melihat Encik Ghazali melakukannya dengan kepalanya yang terteleng. Begitulah Zamri bila dia asyik dengan sesuatu. Tapi, bila masanya dia menyalakan sepuntung rokok lagi? Aku menggeleng kembali.
Lampu suluhku menelusuri dari lengan Nurul ke sisinya lalu cahaya itu terus menerangi “Nurul, bangun!” gesaku perlahan. Encik Ghazali dan Zamri yang nampak apa yang aku lihat segera menarik gadis itu untuk berdiri.
“Kenapa?” Tanya Nurul kehairanan.
Kami semua tidak menjawab. Hanya cahaya lampu suluhku sahaja yang masih menerangi tempat yang sama. Di situ kelihatan berbelas-belas ekor pacat sedang bergerak menghala ke kawasan tempat duduk Nurul tadi!
2
PAGI itu dingin sekali. Gumpalan asap akan kelihatan setiap kali aku menghembuskan nafas. Aku meniup udara ke kedua-dua tapak tanganku. Kemudian aku menggosokkan kedua-duanya laju-laju untuk mendapatkan haba. Aku memandang ke arah langit. Tak nampak apapun kecuali awan pekat menyelimuti alam sekeliling. Angin dingin kelihatan menolak awan menghala ke ufuk barat. Ia sedang mengumpul awan ke daerah itu sebelum membiarkannya gugur sebagai hujan. Begitulah putaran alam.
Aku turun seorang diri ke bawah selepas solat subuh. Yang lain tentunya berlingkar tidur kembali. Aku sengaja ke laman banglo di atas bukit itu untuk menikmati senario alam. Pandanganku mencerun ke arah bawah bukit untuk melihat kawasan hutan yang diselimuti kabus pagi. Asyik sekali aku melihat kabus yang terapung dan menaik ke angkasa perlahan-lahan untuk berkumpul menjadi awan.
Gesekan selipar di simen hadapan banglo itu mematikan lamunanku. Aku tidak menoleh. Sebaliknya hanya menanti bunyi seterusnya. Benar. Ada kedengaran bunyi heretan selipar di atas rumput menghampiriku. Aku sudah kenal siapakah yang datang kerana sudah cam dengan cara berjalan orang yang menghampiriku itu. Tiba-tiba aku terasa rambutku ditarik.
“Woi! Sakitlah!” jeritku.
“Hee, hee, hee…” kedengaran satu suara tertawa kecil.
“Tolonglah jangan tarik rambut aku. Penat aku bela rambut ni, tau!”
Aku menoleh dan memandang Nurul yang tertawa terkekeh-kekeh.
“Awat? Hang jealous ka, aku simpan rambut panjang macam hang?” Aku bertanya Nurul sambil menggosok kulit kepalaku yang terasa pedih.
“Nak jealous apa? Rambut hang tu bukannya panjang macam rambut aku ni.” Katanya sambil jejarinya melurutkan rambut ikalnya ke tengkuk.
Setelah mencekak rambutnya, gadis itu mengambil getah yang tergantung di bibirnya lalu terus mengikat rambut untuk dijadikan tocang. Rambutnya panjang hingga hampir mencecah pinggang. Rambut aku pula hanay sejengkal melepasi tengkuk. Tapi aku tocangkan juga seperti Nurul.
“Terimakasih kerana tolong Nurul, kemaghin,” ujarnya.
“Terima kasih juga kerana defend aku,” balasku bila teringat dia lari ke hutan kerana tidak suka kawan-kawan mentertawakan aku. “Macam mana Nurul semalam? Dapat tidur?”
“Okey… tak dak apa,” jawab Nurul dengan loghat Penangnya. Dia tersengih.
Anak mami bermata bundar itu memang menawan. Gadis itu tinggi lampai dan berkulit putih melepak. Wajah bujur sirihnya itu sentiasa dihiasi senyuman bila bertutur. Malah ketika dia marah pun Nurul boleh tersenyum bila tersedar dirinya naik angin.
Gadis lemah lembut ini memang mempunyai tarikan besi berani yang kuat. Bukan sedikit mat-mat di kampus yang kecundang kerana cinta yang terkulai dek Nurul. Tapi biasalah… gadis itu akan mengangkat bahu bila mengetahui ada jejaka yang tak tentu arah kerana angaukannya. Katanya, hatinya belum terbuka lagi pada sesiapa. Dia hanya ke universiti untuk ‘belajag’ bagi memenuhi cita-citanya.
Aku? Tidakkah ada rasa hati padanya? Tak adapun. Sungguh! Ya, dia cun mengikut piawaian ramai siswa di kampus. Tapi pada aku, dia cantik kerana punyai personaliti yang aduhai. Kadangkala sikap tenang tetapi berprinsip itulah yang menawan hatiku. Bukannya tertawan untuk mengasihinya. Tetapi tertawan untuk mencontohi peribadinya.
Kenapa dia begitu marah bila kawan-kawan mengusik diriku malam tadi? Apakah dia kasihankan aku bila mendengar masalahku itu? Lantas dia menunjukkan reaksi yang agresif kerana itulah sahaja caranya untuk menghentikan usikan itu. Atau ada sesuatu persamaan dengan apa yang dialaminya? Entah. Aku belum tahu.
“Malam tadi depa jumpa seekor lagi pacat dekat pinggang Nurul. Mula-mula kami tak tau macam mana nak buang. Nak pakai air panas takut melecur pulak kulit Nurul. Bubuh ais pun tak boleh jalan.
Nasib baikla masa tu kak Sabrina tengah pakai Listerine. Terus kami curah Listerine tu kat atas badan pacat. Menggelitat menatang tu. Lepas tu, pok-pek-pok-pek kak Sabrina berleter sebab habis setengah botol pencuci mulut dia, hee, hee…”
Kami sama-sama tertawa.
“Mula-mula bila terdengar Nurul menjerit kat dalam hutan tu semalam, aku sendiri panik. Manalah tau kot-kot ada harimau ke, ular sawa ke. Rupa-rupanya pacat. Tapi aku tengok hang relaks aje kena gigit pacat. Tak takut ke?”
“Nurul tak takut pun. Tapi sebenarnya Nurul terkejut! Nurul dah biasa kena gigit pacat kat sawah atuk kat Kota Sarang Semut.”
KAMI sama-sama mencerunkan pandangan ke bawah perbukitan itu. Aku memandang ke arah dedaun lalang yang sudah rebah ke kiri dan ke kanan menjadikan sebuah lorong kecil.
“Kalau hang nak tau, Nurul... hang lari ikut situlah. Aku dengan Zamri turun sampai ke pokok besar tu. Dekat situ ada anak air. Hang lari jauh lagi ke bawah sampai ke rumpun buluh tu. Hang nampak tak pucuk buluh tu?”
Nurul menjengketkan kakinya sambil mengintai. Sekejap kemudian dia tertunduk untuk melihat rumpun buluh yang aku perkatakan.
“Mula-mula, aku dengan Zamri tak hendak turun cari hang. Tapi kan... tapi kan...”
“Tapi apa, Izu?”
“Tapi, kami terus turun ke bawah bila kami nampak ada benda putih melayang-layang menuju ke atas rumpun buluh, tu. Kami rasa benda tu melayang ke arah hang!”
“Sungguh, ka?” Matanya yang bundar itu membesar memandangku. “Sungguh. Lepas tu kami dengar ada suara menjerit!”
“Eh, Nurul tak dengar pun suara menjerit.” Berkerut dahinya memandangku.
“Iyalah. Mana hang nak dengar. Sebab suara tu datang dari mulut hang!”
“Ces! Mang... kuk, hang!”
Seraya dengan itu, Nurul terus mencapai sebatang ranting kecil yang patah dan dia terus membaling ke arahku.
“Eh, apa ni?” Kataku. Balingan pertamanya tidak mengenai kerana aku sempat mengelak.
Lantas Nurul mengambil sebatang ranting sepanjang setengah meter.
“Hei... janganlah.” Kataku sambil cepat menepis ranting itu. Balingan kedua masih tidak mengenaiku.
“Ooo... hang elak ya?” Kali ini Nurul mencapai dahan patah semarak hutan yang ada berhampiran lalu terus mengejarku.
Aku pun apa lagi. Terus sahaja buka langkah seribu. Kami berkejar-kejaran. Dari sisi banglo itu aku terus menuju ke jalan kecil di hadapan rumah itu lalu terus berlari menjauhi banglo. Sekejap aku berjalan, sekejap lagi aku berlari bila Nurul menghampiri. Akhirnya aku angkat tangan tanda menyerah kalah. Begitulah di antara aku dan Nurul. Mesra bukan main lagi.
WALAUPUN suasana di sekitar masih dingin dan lembab, kami tidak rasa kesejukan kerana baru sahaja selesai berkejar-kejaran. Tubuhku terasa hangat. Suasana sunyi itu hanya diiringi dengan suara riang-riang yang berdesing tanpa henti.
Kami menapak perlahan kembali ke banglo. Sesekali kami berhenti untuk melihat cendawan liar yang mercup di celah-celah pohon tumbang yang reput. Suasana yang sunyi dan damai itu membuatkan diriku terasa bahagia berada di samping Nurul.
Lama aku merenungnya terhenti memerhati dan memetik orkid hutan. Dia seperti seorang kanak-kanak yang terkinja-kinja bila melihat orkid berwarna putih dan ungu itu. Selepas satu, dipetiknya satu lagi. Aku tumpang gembira melihat keriangannya.
“Izu...” Tiba-tiba dia bersuara setelah lama dia asyik mengutip bunga-bunga orkid hutan itu.
“Hmm...” jawabku.
“Betul ke mak hang asyik bagi hadiah buku setiap kali bila tiba harijadi hang?”
Aku tersenyum.
“Kenapa tersenyum?”
Aku menelan liur. “Sebenarnya cerita tu aku saja reka-reka. Saja aku nak bikin pelik sikit.”
“Betul ke?” Nurul kini sudah mencekak pinggangnya.
“Betul. Memang saja aku nak main-main.”
“Apa? Mangkuk ayun, hang!”
Alamak! Nurul dah naik angin semula! Dengan sekuat tenaga aku berlari menjauhinya sambil menepis bunga-bunga orkid yang dibalingnya.
Kelana Jaya, Selangor
SEMINGGU berlalu. Keletihan berkursus bina insan yang dilalui sudah perlahan-lahan menghilang. Masing-masing telah pulang ke pangkuan keluarga. Kenangan bersama teman-teman sekursus untuk tidur baring dan makan minum seperti adik beradik akan kami kenang.
Malah, kami telah sepakat untuk terus menghubungi antara satu sama lain dan saling membantu dengan masa, tenaga dan wang jika mampu andainya salah seorang dari kami menghadapi masalah. Bila, mengapa dan bagaimana kami akan tunaikan janji-janji itu hanya masa yang akan menentukan.
Meskipun jauh di lubuk hati, aku berasakan bahawa ikrar itu sukar dipraktikkan, namun mungkin kerana semangat pada malam itu, kami berjanji tanpa memikirkan samada janji itu dapat dipenuhi. Aku berasa demikian kerana temanku yang rapat hanyalah Zamri dan Nurul.
Mereka yang lain memang tidakku kenal kecuali ketika kursus. Mereka semua adalah warga kerja sebuah syarikat percetakan. Aku, Zamri dan Nurul ‘ditumpangkan’ sahaja ke dalam kumpulan itu oleh seseorang yang baru kembali dalam hidup aku.
Ikrar pada malam itu disaksikan oleh Encik Ghazali, fasilitator yang kami hormati sebagai bapa dalam kursus seminggu itu. Lelaki gempal itu kelihatan selamba sahaja bila kami menyanyikan lagu Geylang Si Paku Geylang dengan sepenuh perasaan sambil bertangisan kerana akan berpisah keesokannya.
Mungkin dia sudah terbiasa dengan suasana sedemikian. Gelagat kami semua sudah tiada kesan buat dirinya. Meskipun dia cuba kelihatan sugul, aku dapat membaca bahawa dia sebenarnya berwajah demikian untuk menjaga hati kami. Esok hari, kumpulan lain akan dikendalikannya dan dia seperti mekanik manusia akan cuba membina jiwa mereka. Begitulah seterusnya dan seterusnya.
“IZU… abah.” Suara ibu kedengaran memanggil dari ruang tamu. Jari jemariku serta merta terhenti dari terus mengetuk kekunci. Baru aku tersedar bahawa aku ada terdengar deringan telefon sebentar tadi ketika aku mengelamun. Aku mengeluh sekali lalu menggeleng. Aku tak mahu bangun untuk menjawab telefon.
“Izu…” Ibuku muncul sambil menghulurkan telefon tanpa wayar kepadaku. Aku mencebik.
“Kata pada abah saya tidur, mak.” Ibuku tidak bergerak. Dia masih berdiri kaku. Tangannya masih mengenggam telefon itu. Aku menoleh padanya. Ibuku menarik tanganku. Telefon itu terus diletakkan ke telapak tanganku dan berlalu.
“Ya, abah…” sapaku sambil telefon itu dikepitkan di antara bahu dan kepalaku. Jejariku segera hinggap kembali ke kekunci komputerku.
“Izu sedang buat apa, tu?” kedengaran suara parau ayahku.
“Diskusi dengan members,” jawabku ringkas.
“Ada member kat rumah ya? Ramai ke?”
“Tak, abah. Kawan-kawan online aje.” Jawabku seringkas mungkin. Memang cara hendak tak hendak agar perbualan dengan ayahku dapat ditamatkan secepat yang boleh.
“Chatting?” ayahku bertanya lagi.
“Nope! Discussing,” aku memperbetulkan tanggapannya. Ada beza di antara berbual kosong dengan insan yang aku tak kenali dengan mereka yang aku tahu. Pada aku, bila berbual dengan orang yang tak dikenali di alam siber, itu chatting semata-mata. Tapi bila berbual dengan orang yang dikenali berhubung dengan sesuatu topik, itu dipanggil diskusi.
“Apa yang disembangkan?”
Soalan ayahku itu menyirapkan darahku. Nampaknya aku tak boleh ubah tanggapan orang tua itu. Berdiskusi itu juga chat baginya! Dia masih ingat aku saja-saja berborak membuang masa.
“Okeylah, abah… what’s up?” Tanyaku dengan hati yang mula membengkak.
“Eh, engkau tak mahu tanya abah… hey dude, what’s up? Macam yang kau sebut pada kawan-kawan kau, tu?”
Aku tersengih sinis. Memang ayahku ini kerap menelefon dan nampaknya ingin sangat merapatkan jurang generasi dan masa. Kalau boleh jurang masa itu ingin dilupuskannya hingga seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di antara kami. Tapi mana mungkin?
“Bahasa tu tak sesuailah abah.”
“Kenapa tak sesuai? Apa, sebab abah dah tua?” tanyanya.
Apalah orang tua ni melalut.
Dengan mengeluh aku menjawab, “Istilah dude tu untuk bahasa orang macam saya aje, abah…”
“Siapa kata, Iz? Engkau patut tengok kamus dulu sebelum bercakap. Perkataan dude tu bukan untuk orang muda saja, Iz.”
“Mana ayah tau?” Dalam hendak tidak hendak, aku mula tertarik dengan persoalan ayahku.
“Dude tu bukan saja gantinama bagi kawan atau sahabat mengikut slanga California, seperti yang engkau semua ikut tu… tapi juga membawa maksud ‘seseorang yang mengambil berat terhadap pakaian dan peragaan dirinya. Engkau kena tengok kamus, Iz!” Dia mengulang lagi perkataan ‘kamus.’ Aduh…
Aku terkedu sebentar. Nampaknya orang tua aku masih tidak meninggalkan sikap gila bahasanya. Kata ibu, ayah adalah seorang insan yang gemarkan sajak. Di zaman mudanya ayah suka menulis puisi itu di kertas kajang. Kata ibu, ayahku punyai hingga lima jilid sajak-sajak mengenai kehidupan, percintaan, pengorbanan dan alam yang difailkan. Minat beliau itulah yang menarik hati ibu untuk mengenalinya hingga akhirnya beliau jatuh hati.
“Terima kasihlah kerana mengajar saya, ayah.”
“Mak… apa khabar?”
Aku mendengus. Nampaknya ayahku ini hendak mengajak aku berbual-bual di waktu yang tak kena. Aku tiada masa di saat ini kerana sibuk bertukar-tukar maklumat dengan kawan-kawan sekursusku. Lagipun, dia baru sahaja sebulan muncul dalam hidup kami sekeluarga. Itupun setakat bertemu seketika di sebuah coffee house bulan lalu. Selainnya dia hanya memunculkan suaranya melalui panggilan telefon. Sebagai ‘manusia baru’ dalam hidup kami, tentunya kami terpaksa memberi ruang waktu untuknya. Lebih-lebih lagi kerana dia ayahku. Tapi… dia bekas suami ibuku.
Bila aku teringatkan situasi itu, aku jadi geram. Alangkah bagusnya kalau dia juga menjadi bekas ayahku! Hatiku memberontak.
“Abah… cut the crap. Tak perlu buat PR dengan saya. Direct to the point. Apa hal abah nak bercakap dengan saya ni?” Suaraku sedikit meninggi.
Sunyi seketika. Tiba-tiba kedengaran bunyi ‘klik’ di hujung talian. Aku segera mengambil telefon lalu mengalihkannya ke telinga kiri pula sambil mengharap suara ayahku muncul kembali. Tetapi yang kedengaran hanya bunyi dengung tanda talian telah diputuskan. Alamak! Talian terputus atau, ayahku telah memutuskan talian? Apa yang telah aku lakukan? Apakah aku terkurang ajar terhadap orang tuaku hingga dia berkecil hati? Kalau ibuku tahu, matilah aku!
IBUKU amat pantang bila terdengar aku berkasar dengan ayahku. Meskipun dia adalah bekas suami ibuku, tetapi dia masih tetap ayahku di dunia dan akhirat! Begitulah hujah ibu. Walaupun aku sering terlihat air mata ibuku tumpah kerananya, aku tak boleh sakitkan hati ayahku. Konflik yang terjadi adalah di antara ibu dan ayahku. Bukannya di antara dia dengan kami dua beradik. Itulah yang selalu ibu ingatkan kepada kami.
Ya, ayah menghilangkan diri ketika aku berusia 5 tahun. Aku selalu bertanya ke mana ayah menghilang. Jawab ibu, ayah pergi bertugas ke luar negara. Dengan jawapan itu, akupun percaya.
Ibu sentiasa kelihatan tenang hinggalah pada suatu malam aku terjaga dari tidur kerana terdengar tangisannya di tikar sembahyang. Sebagai seorang kanak-kanak aku masih tidak memahaminya.
Namun sejak malam itu, aku sengaja tidur awal supaya aku dapat berjaga untuk mendengar tangisannya yang amat menusuk hati. Dalam kesamaran lampu tidur, aku akan menatap tubuh ibuku dari belakang.
Setelah tahiyyat akhir dan mengucapkan salam, ibuku akan menadah tangan. Tak lama kemudian, esakannya akan terdengar. Kemudian ibuku akan sujud. Pada ketika itulah suara sedu sedannya pula akan bergema ke seluruh bilik rumah datukku.
Ada ketikanya aku terlelap. Kemudian aku akan terjaga bila terasa pipiku dikucup ibu. Masihku ingat rasa hangat air mata ibu. Namun memang aku akan pura-pura tidur kerana takut ibu mengetahui aku tahu rahsianya. Di usiaku yang mentah itu aku sudah dapat menanggap sesuatu yang tak kena telah terjadi di antara ayah dan ibuku.
Tak lama kemudian ibuku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Dibawanya kami ke Kuala Lumpur dan menumpang di rumah emak saudara kami di flet Kampung Kerinchi. Itulah zaman yang perit buat kami sekeluarga. Tetapi apakah yang sebenarnya berlaku di antara ayah dan ibu takku tahu hingga ke hari ini. Ya, hingga aku dewasa begini dan sehingga ayahku muncul kembali dalam kehidupan kami.
‘TING.’ Muncul sebuah kotak di skrin komputerku.
‘YOU’VE GOT MAIL.’ Frasa itu berkelip-kelip hingga ia perlahan-lahan menghilang dari skrin sebelum sempat aku menyentuhnya dengan penunjuk tetikusku. Aku terus membuka kotak emelku. Penunjuk tetikusku terus mengklik emel yang paling atas sekali. Skrin komputerku terus memancarkan emel yang telah melenyapkan lamunanku sebentar tadi.
‘URGENT! Come to my PJ office sekarang! Tidak boleh tidak. – Abah.’
3
Petaling Jaya, Selangor
PERJALANAN dari Kampung Tunku ke Amcorp Mall bukannya lama. Dalam masa lima belas minit sahaja Kancilku sudah meluncur dari Jalan 222 terus menyusuri Lebuhraya Persekutuan sebelum melalui jejambat memasuki Jalan Timur. Walaupun jalanraya basah selepas hujan, kesesakan tidaklah teruk.
Aku melihat jam di dashboard. Tepat jam 3.00 petang. Pada petang Sabtu seperti ini, kenderaan yang bersusun untuk keluar dari Kuala Lumpur sudah amat berkurangan. Begitu juga dengan kenderaan yang memasuki bandaraya.
Menjelang jam 5.00 petang, jumlah kenderaan akan mula bertambah. Mereka yang ingin beistirehat pada malam minggu akan menyesakkan jalanraya ke arah ibukota terutamanya jalan-jalan yang menuju ke Segitiga Emas.
Telefon bimbitku mengalunkan lagu. Setelah menekan punat menjawab aku menanti suara si pemanggil sebelum bersuara. Namun tiada suara kedengaran. Aku terus memerhati nama yang tertera di skrin telefonku. ‘Nurul.’
Apa yang dimahukan oleh Nurul? Tanpa membuang masa aku terus menghubunginya. Bunyi dengutan kedengaran dan suara Nurul pun timbul. “Helo, Iz.”
“Yes! Iz di sini.. what’s up?”
“Helo, Iz...”
“Ya... Iz di sini.” Aku mengulangi.
“Helo Iz... Nurul tak dengarlah. Helo... helo...”
Talian terputus. Tak mahu aku mencuba lagi ketika ini kerana tidak dapat memberi tumpuan. Nantilah.
SEDAR-SEDAR Kancilku sudah membelok ke kawasan letak kereta bangunan Amcorp Mall. Padang letak kereta itu tidak begitu sesak pada petang Sabtu. Ia biasanya sesak pada hari Ahad bilamana terdapat flea market.
Setahu aku, hanya ada dua tiga buah sahaja kompleks membeli belah yang menganjurkan pasar sedemikian. Ada sesekali aku mengunjungi pasar murah itu untuk mencari buku-buku lama yang unik untuk dibaca.
Aku pernah membeli tepak sirih antik buat ibu dan kostum jewellery untuk Izzati. Bagaimana pun setelah aku ketahui salah sebuah pejabat ayah terdapat di kompleks pejabat itu, aku jadi enggan ke sana kerana khuatir terserempak dengannya.
Setelah memarkir kenderaan, aku mula melangkah menghala ke kompleks membeli belah itu untuk ke pejabat ayahku. Aku belum pernah ke situ tetapi aku ingat alamatnya di bangunan Menara PJ di kompleks Amcorp Mall itu. Baru sahaja beberapa langkah, tiba-tiba seorang lelaki menahan aku. Lelaki yang bermisai melintang lagi melentik itu terus menyapa...
“Encik Izuddin Johan, ya?” Dia bertanya meminta kepastian.
Aku mengangguk kehairanan. Siapa lelaki ini?
“Encik Izuddin ikut saya, ya?”
“Pakcik ni siapa?” tanyaku.
“Encik Johan sedang menanti kamu.”
Walaupun sedikit terkejut, aku percayakan lelaki itu kerana dia kelihatan tegas dan yakin dengan apa yang dia perkatakan. Lantas aku menonong membuntutinya. Sambil berjalan aku terperasan dia kelihatan amat berhati-hati bila asyik tertoleh-toleh ke kawasan sekitar.
Dia berjalan di belakangku lebihkurang semeter. Bukan betul-betul di belakangku tetapi sedikit ke tepi dalam sudut 45 darjah. Tubuhnya yang sendo itu kelihatan mantap setiap kali dia melangkah.
Derap kasut kulitnya membuat aku sedikit kaget. Sudah lama aku tidak menemui orang memakai kasut yang berladam seperti lelaki ini. Bunyinya sahaja sudah menggambarkan kelelakiannya. Dan dia memakai vest kulit tanpa lengan serta berseluar jeans biru yang berseterika! Agaknya lelaki ini bekas anggota pasukan beruniform.
“Masuk. Duduk di belakang.” Lelaki itu membuka pintu automatik Honda CR-Vnya.
“PAKCIK ni siapa?” soalanku yang tidak dijawab aku ulang kembali sebaik sahaja kenderaan membelok memasuki Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.
“Pakcik ditugaskan untuk membawa kamu berjumpa Encik Johan.”
“Di mana? Bukankah dia hantar mesej suruh saya datang ke pejabatnya?”
Lelaki itu tidak menjawab. Oh ya, lupa aku mengatakan yang lelaki itu juga memakai kacamata hitam pekat. Jenis yang dipakai oleh Mr. Smith dalam The Matrix. Oleh itu aku tak pasti samada dia memandang ke lebuhraya atau menjeling kepadaku.
“Pakcik tak hendak jawab soalan saya ke?”
Dia diam juga. Aku mengeluh dan tersandar lalu memandang ke luar tingkap. Kenderaan kelihatan bergerak perlahan bila ia menghampiri jejambat ‘Jambatan Pulau Pinang’ atau yang sebenarnya jejambat persimpangan ke Sunway dan Kelana Jaya. Kerana jambatan itu mempunyai tiang-tiang tinggi yang mengikat jejambat dengan kabel-kabel, bentuknya menyerupai jambatan terpanjang di Malaysia itu lalu digelar jambatan Pulau Pinang.
“Kamu ambil apa di universiti?” Lelaki itu memecah suasana sunyi.
“Industrial design.” Jawabku acuh tak acuh.
“Oooo...” Mulut lelaki itu membulat lalu membentuk huruf ‘O.’ Aku rasa dia tak tahu apakah jenis kursus industrial design itu mendengarkan betapa panjang ‘o-nya’ itu.
“Lepas ini nak kerja atau nak sambung belajar?”
Dia tahu aku sudah menamatkan pembelajaran. Tentu maklumat itu diperolehi dari ayahku. “Kerja dulu, pakcik. Cari pengalaman hidup.”
“Sambung belajar, kan lagi bagus? Bila dah betul-betul selesai, barulah kerja yang cari kamu, bukan kamu cari kerja.”
“Bila ada pengalaman, kerja pun akan cari kita, pakcik.”
“Kerja dulu tu memang baik kalau keputusan tak berapa bagus atau kalau kamu nak kumpul wang. Tapi keputusan kamu nanti insya-Allah bagus. Masalah wang pun memang tak ada.”
“Belum tentu lagi keputusan saya akan bagus...”
“PMR kamu tu 9A, SPM pun 9A1. Senarai Dekan pun empat dari tujuh semester. Takkan kamu tidak yakin?”
“Pakcik! Siapa pakcik sebenarnya? Kita ni nak pergi jumpa ayah saya di mana?” Kata-katanya kupintas secara tiba-tiba. Ada rasa tidak selesa bila lelaki yang aku tidak kenali ini mengetahui mengenai latarbelakang persekolahanku. Dari awal lagi dia tentunya bukan tak tahu kursus apa yang aku ambil di universiti. Dan dari mana dia tahu mengenai keputusan peperiksaan aku sejak sekolah? Untuk apa dia ambil tahu mengenai hal-hal pembelajaranku?
“Boleh tolong jawab soalan saya, siapa pakcik ni?!” Aku menjongkongkan tubuhku ke hadapan. Tanganku menggenggam erat penyandar kerusi di hadapanku . Mataku cuba mencari tubir matanya di celah-celah kacamata hitamnya. Aku membuka mulut ambil mencari perkataan-perkataan yang sesuai untuk meneruskan soalan-soalanku pula.
Soalan adalah serangan. Menjawab adalah bertahan. Taktik itu diterangkan oleh Encik Ghazali dalam salah sebuah sesi kursus yang aku baru lalui itu. Justeru, aku akan hujani pakcik ini dengan pelbagai soalan. Aku juga akan menjawab soalannya dengan soalan juga supaya aku dapat mengenali dia lebih banyak dari dia mengenali aku. Tapi, sebanyak manakah dia sudah mengenali aku?
“Izu... duduklah betul-betul. Jangan tension. Nanti kamu akan tahu juga pakcik ni siapa. Mungkin bila engkau tahu siapa pakcik, entah-entah engkau sendiri tak akan suka hendak tahu.”
Aku terpaku. Perlahan-lahan jari jemariku yang masih mencengkam penyandar kerusi di depanku kulonggarkan. Kemudian aku tersandar. Tanganku meraba selfon bila teringat pada Nurul yang cuba menghubungi aku sebentar tadi. Jejariku pantas memilih nama itu dari peti simpanan lalu aku menanti nada dengut di hujung talian.
Aku mengeluh. Sudah banyak kali aku cuba menghubungi Nurul, namun gagal. Apa yang dikehendaki Nurul bila menghubungi aku tadi? Sebagai salah seorang sahabat, aku tak mahu mengecewakannya. Walaupun hanya untuk berbual-bual, aku sanggup meluangkan masa.
Puduraya, Kuala Lumpur
SUASANA di Puduraya sesak seperti lazimnya. Orang ramai ke hulu ke hilir menjalankan urusan masing-masing. Kelihatan barisan manusia setia menunggu giliran masing-masing untuk membeli tiket perjalanan bas ekspres di kaunter-kaunter tiket. Barisan-barisan itu melambatkan perjalanan mereka yang menggunakan kawasan itu sebagai tempat laluan.
Manusia yang baru tiba dari pelbagai destinasi kelihatan menapak dari pletform di tingkat bawah ke kawasan menunggu. Tempat-tempat duduk yang kosong mereka penuhi dan menyesakkan lagi kawasan itu.
NURUL yang sedang duduk di salah sebuah bangku batu itu terpaksa mengengsot lagi bila seorang ibu muda yang sedang mengendung bayi tiba-tiba melabuhkan punggung di sebelahnya. Secalit senyuman diberikannya bila mata mereka bertembung. Itu sahaja yang Nurul dapat berikan kepada ibu muda itu sebagai tanda menerima kehadiran ibu itu duduk bersebelahan dengannya. Pada saat itu juga telefon Nurul berdering.
“Assalamualaikum, Nurul. Ini makcik Ani.”
“Eh, makcik! Waalaikumsalam. Iz mana?”
“Dia keluar. Ada hal mustahak. Katanya dah dua-tiga kali dia cuba hubungi Nurul tapi tak berjawab. Nurul di mana?”
“Puduraya. Nurul datang KL ni sebab ada temuduga, makcik. Boleh tak Nurul tumpang kat rumah makcik untuk semalam? Mak saudara saya yang tinggal kat Pandan Jaya tu balik kampung suami dia kat Kelantan sebab ada kenduri.”
“Eh, apa salahnya. Sepatutnya Nurul datang ajelah ke mari. Tak payah telefon, telefon. Makcik sentiasa ada kat rumah. Hari ini kan, hari Sabtu. Makcik tak mengajar.”
“Nurul takut makcik dengan Izu tak ada kat rumah. Kalau makcik atau Izu tak ada, saya nekad nak lepak kat sini aje, makcik.”
“Eh, ada pulak cakap macam tu. Ha, Nurul tahu kan, cara nak ke rumah makcik?”
“Tahu, makcik.”
“Bila Nurul dah dekat sampai ke LRT Taman Bahagia, telefon ajelah makcik. Nanti makcik datang.”
“Terima kasih, makcik.”
Talian diputuskan. Nurul bingkas bangun sambil menyauk beg sandangnya. Untuk ke rumah Izuddin, dia perlu menapak ke Pasar Seni dan menaiki LRT di situ. Perjalanan ke LRT Taman Bahagia tidak mengambil masa lebih 25 minit. Nurul bergegas melangkah untuk keluar dari terminal bas itu. Tapi sebelum itu dia akan singgah ke salah sebuah kedai menjual minuman di situ. Tekaknya dari tadi lagi sudah berasa dahaga.
NORAINI baru sahaja meletakkan gagang telefon apabila ia menjerit kembali.
“Asalamualaikum...”
“Waalaikumussalam. Err... Nor... saya, ni.”
Noraini sedikit terpempan bila mendengar suara parau itu. Kotak mindanya terus memaparkan ikon wajah si pemanggil. Itulah insan yang pernah disayanginya sepenuh hati. Baru kira-kira sebulan lalu dia dan Izzuddin menemui lelaki itu setelah sekian lama berpisah.
“Maafkan saya kerana memanggil Izu ke mari berjumpa saya tanpa izin awak.” Tenang sahaja suara lelaki itu bertutur.
“Iya ke? Izu tak pun beritahu saya, bang. Tiba-tiba saja dia beritahu yang dia hendak keluar sebab ada hal.” Noraini masih membahasakan lelaki itu dengan panggilan ‘abang.’ Rasa hormat masih lagi ada di sanubari wanita berusia akhir 30-an itu.
“Err... saya panggil dia berjumpa saya kerana saya ada perkara penting.”
“Hal apa, bang? Sejak bila hal mustahak abang tu melibatkan Izu? Bukan ke dia dan Aza sudah abang lupakan?” Dalam lembut, Noraini menempelak.
Kedengaran keluhan dari hujung talian. “Abang tak pernah lupa, Nor. Sejak abang tinggalkan tanah air, abang tak pernah lupakan Izu, tak pernah lupakan Aza, tak pernah lupakan awak...”
Noraini pula mengeluh. Hatinya tidak percaya. Namun fikirannya mengiyakan bahawa Johan memang tidak melupakannya. Walaupun bertahun berpisah, jauh di lubuk hatinya Noraini tahu Johan meninggalkannya bukan kerana benci. Malah Johan terlalu menyayangi dirinya!
SEJAK menghilang 15 tahun lalu, Johan sering juga mengutus surat. Paling tidak sebulan sekali. Di dalam setiap surat Johan tidak lupa menyelitkan wang pos. Pada mulanya wang pos dari India, kemudian dari Mesir, Turkey dan akhirnya wang pos dari United Kingdom. Kesemuanya dipos dari tempat di mana dia bermastautin.
Perkahwinannya dengan Johan memang diterima oleh kedua orang tuanya. Walaupun mereka menyambut lelaki itu sebagai menantu, namun saudara mara mereka sentiasa membandingkan suami Noraini itu dengan menantu-menantu lain yang kesemuanya pegawai kerajaan yang berpangkat. Sedangkan Johan hanya menjadi penjual sayur kampung di pekan sehari di Mersing.
Lama-lama telinga Johan sudah tidak tahan lagi dengan bahasa yang menghiris hati. Peluang tiba lima tahun kemudian bila seorang kawan sekampung mengajaknya belayar mengikut kapal dagang sebagai kelasi.
Walaupun hatinya berat meninggalkan Noraini, Izuddin dan lebih-lebih lagi Izzati yang baru berusia setahun, dia terpaksa pergi. Johan ingin mengubah kehidupan diri dan keluarganya. Namun, kehidupan Johan menjadi melarat dan terumbang-ambing di negeri orang.
Dengan hati yang berat dia mengutus surat untuk membebaskan isteri yang disayangi. Sudah takdir, sudah suratan ALLAH; baru sahaja beberapa bulan dia melakukan tindakan nekad itu, hidupnya berubah bila bekerja dengan seorang usahawan permata Inggeris.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata memang buruk padahnya. Dia tidak boleh menarik kata. Kesannya ditanggung bukan sahaja oleh Johan, malah diri Noraini dan anak-anaknya. Johan tahu kedua-dua mertuanya boleh menerima beliau seadanya. Namun dia tak tahan dengan umpat keji saudara mara sebelah isterinya.
“NOR...” suara itu mencuit lagi dari hujung talian.
“Tak mengapa, bang. Izuddin itu anak abang juga. Bertemulah dengan dia sebagai anak dan ayahnya. Cuma...” Noraini terhenti berkata. Dia tidak mahu menyuarakan kebimbangannya kerana khuatir dia hanya prasangka. Namun Noraini meluahkan juga...
“Cuma Nor harap abang bukan hendak memisahkan Izu dari saya.”
“Nor...” kedengaran suara itu sedikit cemas. “Abang tak mungkin lakukan itu. Abang datang bukan untuk mengambil Izu dari Nor. Malah abang kembali untuk bersama Nor dan anak-anak abang. Hmm... boleh tak kita hidup bersama kembali, Nor?” Lancar sahaja Johan menuturkanya.
“Tak mungkin, bang.” Noraini melepaskan keluhan dalam kerisauan.
4
Kampung Sungai Pencala, Kuala Lumpur
“KITA dah sampai.” Tiba-tiba suara pakcik yang membawaku itu memecah kesunyian. Aku terjaga bila terdengar suaranya. Rupa-rupanya aku terlelap. Lantas aku menoleh ke luar. Kenderaan itu berhenti di hadapan sebuah rumah banglo tiga tingkat.
Rumah itu hampir kesemuanya diperbuat dari kayu. Bahagian tiangnya diperbuat dari batu bata. Ia tidak dicat demi mengekalkan warna asli. Aku melangkah memanjat tangga batu dari tepi jalan menuju ke laman rumah itu.
Aku menoleh memerhatikan pemandangan di kawasan sekeliling rumah itu. Kesemuanya hutan tebal. Sunyi kecuali bunyi desingan riang-riang yang berpanjangan seperti desingan di dalam telinga. Di manakah aku?
Tiba-tiba bunyi tukul berlaga dengan kayu menangkap pendengaranku. Bau cat dan barnis tiba-tiba menyesak nafasku. Bau itu diselangseli dengan bau kayu yang agak keras. Mungkin bau kayu cengal, aku tak pasti. Aku tidak jadi membuka kasut bila melihat lantai rumah itu yang berdebu.
Langkahku ke dalam rumah itu sedikit terganggu bila terpaksa mengelak debu, gumpalan kertas pembungkus simen dan beluti-beluti kayu yang bersepah. Mataku begitu awas agar tapak kakiku tidak terpijak paku.
Wow! Dinding di sekeliling ruang tamu itu didirikan binaan kayu bertingkat-tingkat memenuhi dinding. Aku melangkah perlahan menghala ke bilik di tingkat bawah. Bilik yang tidak bertutup itu memudahkan aku menjenguk ke dalam. Aku jadi hairan kerana terdapat binaan yang serupa di setiap permukaan dinding bilik itu. Rak apa, ya?
Rasa ingin tahuku bertambah dan aku mula menapak ke tangga menuju ke tingkat atas. Suara percakapan mereka yang tentunya pekerja binaan di rumah itu semakin jelas kedengaran. Ada suara telo Indonesia dan juga Cina.
“Hoi! Lu mau apa?” Suara parau yang menegurku kedengaran bergema. Aku mendongak. Kelihatan seorang lelaki gempal sedang bertinggung dari atas tangga sedang memerhatiku.
“Saya nak jumpa Encik Johan!”
“Oh, Lohan... lia talak sini, ma... Lia kuluar!” Jawab lelaki yang aku pasti berbangsa Cina. Suaranya yang lantang itu sedikit mengecilkan hatiku kerana gaya pertuturannya seperti menengking aku. Namun fikiranku memujuk dengan mengatakan bahawa memang cara pertuturan lelaki itu begitu.
Langkahku mati. Aku menoleh ke bawah. Baru aku teringat akan pakcik yang membawaku ke mari. Dalam keadaan tertanya-tanya tadi aku tidak sedar yang aku melangkah memasuki rumah itu bersendirian.
Segera aku menuruni tangga mencarinya kalau-kalau dia ada di luar rumah. Aku jadi hairan kerana batang hidungnya sudah tiada. Malah Toyota CR-Vnya juga sudah menghilang. Mana pakcik tu? Mana abah?
AKU terdengar bunyi sesuatu digoreng dari arah dapur. Sebuah siulan pula kedengaran mengumandangkan lagu Gadis Melayu. Sekejap-sekejap siulan itu diselangseli dengan bunyi batuk. Sebaik sahaja aku menjenguk ke ruang dapur, aku terpandang seorang lelaki dari arah belakang. Susuk tubuhnya sederhana tinggi. Dia memakai baju-T tanpa lengan berwarna hitam yang dipadan dengan seluar jeans hitam juga. Lelaki itu sedang memasak. Memasak?
“Duduklah,” kata lelaki itu sebaik sahaja menoleh. Dia melangkah ke sebuah meja kecil. Di tangannya terdapat sebuah pinggan makan yang dipenuhi sesuatu. Makanan itu tentunya panas kerana kelihatan asap halus berkepul-kepul dari pinggan yang dipegang oleh lelaki itu. Dia menarik sebuah bangku bulat lalu duduk. Sebuah lagi bangku ditarik rapat ke meja itu.
“Come! Duduk sini,” kata lelaki itu memberi isyarat menyuruh aku duduk dengan menepuk permukaan bangku bulat itu dua-tiga kali.
“Engkau suka pisang goreng?” soalnya pula.
Aku mengangguk sekali sambil menyedut nafas. Bau pisang goreng yang menyegarkan itu membuka seleraku. Patutlah baunya wangi dan manis, kata hatiku. Aku memandang pinggan yang dipenuhi dengan makanan itu. Kelihatan buih-buih kecil masih tersisa di beberapa keping pisang goreng itu.
“Abah beli pisang ni kat pasar malam Taman Tun Dr. Ismail, tadi,” katanya sambil mengambil sepotong pisang goreng lalu menyuapnya. Dia mengunyah sambil menghembuskan nafasnya melalui mulut beberapa kali. Pisang goreng di dalam mulutnya itu tentunya panas. “Lama tak makan goreng pisang tanduk. Teringat sangat kebun pisang kat kampung. Nostalgia...” katanya lagi sambil mengambil sekeping pisang goreng dan menyuapnya.
Dengan teragak-agak aku duduk di bangku berhampiran dengannya. Kerana meja itu pun kecil siku kami berlaga. Aku mengalihkan sikuku. Tak selesa dengan kontak sebegitu. Dia masih terlalu asing bagiku meskipun aku tahu dia ayahku. Aku tidak memandang tepat ke anak matanya. Aku hanya menjeling ke arah remosnya, misai tebalnya, mulutnya yang sedang mengunyah dan lengannya yang kelihatan berulas-ulas dengan otot.
Kelihatan jalur jemalur urat yang meniti dari bahu ke lengan terus ke belakang tapak tangannya. Meskipun kulitnya hitam manis namun urat-urat itu masih kelihatan jelas. Mataku memandang pada dada bidangnya dan terus turun ke perutnya. Perutnya tidak boroi. Masih leper. Lelaki ini masih gagah, masih tampan di usianya yang lewat 40an.
“Engkau kena banyak makan, banyak excercise. Badan engkau tengah naik, tu. Lelaki sepatutnya jadi lelaki. Tak boleh lembik... lembut jauh sekali!”
Ini yang aku malas sangat bila mendengar cakap-cakapnya. Ada sahaja komentar beliau tentang apa sahaja yang terlintas di mindanya. Selama ini begitulah perangainya bila bercakap di telefon.
Kalau dalam perbualan telefon, aku kerap kali akan menjarakkan gagangnya dari telingaku bila bosan mendengar cecehannya. Kali ini bila duduk berhadapan aku tak boleh buat apa-apa melainkan menadah telinga. Mudah-mudahan apa yang dicecehnya akan masuk ke telinga kanan tetapi kemudian tembus pula keluar dari telinga kiri.
“Rumah ini dekat kawasan mana, abah?” Mulutku berkata secara spontan hingga membuatkan aku sendiri hairan. Pandai juga aku menukar topik perbualan.
“Hmm... Kampung Sungai Pencala. Di sekeliling kita ni hanya hutan. Tapi di sebalik hutan ada bandar Selayang, Bandar Utama, Taman Tun dan kawasan perumahan Country Heights Damansara. Rumah ini di dalam dusun. Dekat belakang sana ada dusun durian, duku, rambutan, ada kolam ikan air tawar, ada anak sungai. Inilah rumah rehat kita anak beranak nanti. ” Jawabnya dengan panjang lebar.
Aku tidak suka akan perkataan ‘kita.’ ‘Kita’ buatku hanya bererti aku, emak dan Izzati. Dia tak termasuk dalam istilah ‘kita.’
“Kenapa abah tak suruh saya datang ke One Utama atau Taman Tun dan kemudian beri saja pandu arah jalan ke mari? Tak payah suruh orang ambil saya...”
“Iya tak iya jugak. Kenapa abah tak terfikir ya?” jawabnya spontan. Tapi aku boleh nampak dari air mukanya bahawa kata-katanya itu hanya dibuat-buat. Aku malas mencari jawapan sendiri. Ikut suka dialah! “Eh! Minumlah. Buatlah macam kat rumah sendiri,” katanya kemudian.
Dari titis air di permukaan teko aluminium itu, aku mengagak di dalamnya mengandungi kopi cair. Aku tak gemarkan kopi cair! Tetapi sebaik sahaja aku menuang sahaja airnya ke dalam kole yang tersedia, hidungku menangkap bau teh! Teh pekat? Aku lagi tak sukakan teh pekat. Terjelir sedikit lidahku memandang air yang tercurah.
“Itu Chinese tea. Always my favourite. Bagus untuk buang angin dalam badan.” kata ayahku. Nampaknya lelaki ini begitu peka mentafsir gerak lakuku. Nampaknya dia sedang membacaku.
“Rak-rak yang ada di ruang tamu dari lantai sampai ke dinding tu, rak apa? Macam show room! Macam kedai!” Aku mengilas lagi bicara. Topik yang dia perkatakan akan aku ubah mengikut kehendakku. Aku tak mahu dia menguasai arah perbualan. Biar aku yang mengawalnya.
“Kalau engkau nak tahu. Rak-rak itu adalah untuk buku!”
“Buku?” soalku sedikit ternganga.
“Yes! Books, books and books! Seluruh rumah ini akan dipenuhi dengan buku. Di ruang tamu, di kedua-dua bilik di bawah sana tu, di bilik atas termasuk di master bedroom... kesemuanya akan dipenuhi dengan buku! Come, Izu... Mari kita tengok progress perpustakaan kita ni!” Dia lantas berdiri untuk melangkah.
Kita? Aku tak suka perkataan ‘kita,’ tetapi ah, biarlah!
“Eh, ambillah sekeping pisang goreng tu! Hey, takkanlah tak sudi!”
“Sebenarnya, saya masih kenyang lagilah... abah,” jawabku beralasan.
“Alah, sepenuh-penuh peti, takkanlah tak muat walau sehelai sapu tangan?”
Aduh... kena sebijik. Dalam maksud tamsilannya. Aku faham ertinya dan lantas mengambil sepotong pisang goreng. Makanan yang masih suam itu aku sumbat ke mulut.
Hmm... rangupnya. Rasa pisang tanduk tidak semanis pisang-pisang yang lain. Ia sedikit tawar dan ada sedikit rasa kelat. Itu yang tak menjadikannya muak untuk dikunyah. Sebenarnya aku teringin sangat hendak menjamah pisang goreng itu sejak tadi lagi. Kerana mengawal diri, sengaja aku tidak menyentuhnya. Nasib baiklah ayahku mempelawa lagi.
Aku bergegas mengekorinya menuju ke ruang tamu. Teh yang aku tak gemari itu memang tidakku sentuh.
5
BOSAN juga rasa hati ini. Aku dipanggil untuk ke pejabatnya di Petaling Jaya. Katanya mustahak. Bila aku ke sana, tiba-tiba aku dibawa menemui dia di sini pula. Apa yang penting sangat dia memanggil aku? Apa yang hendak disembunyikan hingga menyuruh orang lain membawaku ke sini?
Sudah hampir sepuluh minit aku mengekori dan memerhatinya. Sekejap tadi dia memandang sekeliling ruang tamu rumah ini sambil bercekak pinggang. Tampak rasa puas di wajahnya. Dia membongkok pula sambil jejarinya menggosok-gosok kayu rak buku. Kemudian dia terangguk-angguk. Aku fikir dia memeriksa kekemasan buatan kontraktornya.
Biarlah aku layan sahaja orang tua ini. Aku hendak tahu juga sebab dia ‘memaksa’ aku menemuinya kerana aku hanya bersua muka dengannya sekali seumur hidupku di sebuah restoran di Petaling Jaya bersama ibuku.
“Abah ada banyak buku di UK...”
Kata-katanya itu melonjakkan rasa minatku kembali. Mataku mencerlang mendengarnya. Maklumlah, aku memang gila buku. “Buku? Abah kumpul buku di sana, ke?” Soalku ingin tahu. Dalam pada rasa enggan berbual-bual dengannya, hal-hal buku cukup membuka hatiku untuk menyoal. Kalaupun dia cuba memancing aku berbual dengannya, biarlah aku termakan pancingannya ini. Hal-hal buku memang menyeronokkan.
“Adalah sikit-sikit. Tak lama lagi sampailah buku-buku tu dari sana. Abah ada buku-buku novel, motivasi, sejarah, antropologi, pengurusan, politik, ekonomi, gemologi...”
“Germology? Kaji kuman ke?”
Dia tersenyum seketika. “Bukan. G-E-M-O-L-O-G-Y. Tak ada huruf ‘R.’ Gemology adalah ilmu kaji batu-bata.”
“Kaji batu-bata?” Aku hairan. Eh, mulutku tidak boleh diam pula.
“Bukan batu-bata yang macam ini,” jawabnya sambil menguis seketul batu-bata berwarna oren di antara yang bersepah di lantai ruang tamu dengan kasutnya. “Hmm... gemology tu bidang mengkaji batu permata!”
“Kenapa abah suka baca buku gemologi?” soalku semakin berminat. Hilang segala rasa jengkel yang menguasai diri ketika menemuinya sebentar tadi.
“Abah pernah berniaga menjual batu akik, nilam, delima, zamrud dan berlian! Well, panjang kisahnya. InsyaAllah suatu hari nanti abah akan cerita pada kau.” Katanya sambil melangkah ke ruang tamu. Aku turut mengekorinya.
“Abah hendak letakkan buku-buku umum dan novel di ruang tamu ini. Buku tentang gardening pun abah ada. Buku-buku ini pun abah hendak letak di sebelah hadapan. Mak engkau yang sukakan gardening boleh dapatkan idea untuk dia jadikan taman di laman kat luar tu.”
Rasa jengkelku menjelma kembali bila dia berkata seolah-olah emak akan datang dan duduk bersantai di rumah ini. “Dekat bilik-bilik bawah tu.... dekat bilik atas, abah nak letak buku-buku apa?” Aku mengubah topik.
“Di tempat-tempat lain abah belum putuskan lagi. Mungkin main angkut dan letak saja dulu.”
“INI bilik rehat,” kata ayahku sambil menguak pintu sebuah bilik yang dibina khas. Ia terletak di hujung tingkat dua berhampiran dengan bilik stor. Untuk ke bilik itu kami terpaksa mendaki tangga yang cerunnya 50 darjah. Seperti mendaki tangga untuk memanjat ke siling layaknya.
Terdapat lima buah kotak besar di dalam bilik itu. Semuanya bersaiz sebesar kotak TV 36 inci. Entah apa yang ada di dalamnya. Mataku mengekori langkah ayahku ke arah tingkap. Bila daun tingkap dikuak, udara dingin menyerbu ke dalam. Beberapa helai kertas di atas meja mula bergerak untuk berterbangan. Lekas sahaja tangan ayahku menyambarnya lalu ditindih dengan fail.
Mataku menangkap pandangan di luar jendela. Perlahan-lahan aku melangkah untuk menatap panorama ciptaan Illahi. Memoriku terus sahaja berputar teringatkan Janda Baik yang baru sahaja ditinggalkan minggu lalu.
Pemandangan hutan di Kampung Sungai Pencala ini tidak jauh bezanya dengan kawasan peranginan itu. Cuma di sini ada dua biji buah rumah banglo agaknya jarak masing-masing sekitar 500 meter antara satu dengan lainnya. Di Janda Baik, hanya terdapat sebuah rumah yang kelihatan jauh di puncak sebuah bukit dari laman tempat aku selalu berdiri pada setiap pagi. Kem latihan kami memang terletak agak jauh dari kawasan kediaman.
“Pemandangan dari sini cantik, kan?”
Aku mengangguk sekali.
“Kalau malam, lagi cantik, Iz. Bila abah kat rumah ni, abah boleh duduk berjam-jam menengok pemandangan. ”
Aku menoleh ke arahnya. Cantik? Apa yang boleh dipandang pada malam hari kecuali hitam dan putih? Mungkin kalau ada bulan mengambang barulah boleh nampak pemandangan dalam kekelaman malam.
“Tak percaya ke? Ha, kau tengok dari sini,”
Tiba-tiba dia sudah menghampiriku. Di antara kami diletakkan sebuah teleskop yang didiri di atas sebuah tiang berkaki tiga!
“Kalau pemandangan waktu siang nampak cantik, bila malam hari lagi indah kalau kita merenung ke langit,” katanya.
Dia mengisyaratkan agar aku menggunakan teleskop itu. Memang itulah yang aku hendak lakukan. Bila saja aku melekapkan mataku ke teleskop, aku jadi semakin kagum. Aku nampak pepohon hijau. Terdapat akar-akar kayu yang berjuntai ke tanah. Mataku berlayar dan nampak anak sungai dan kolam kecil dengan air yang beriak-riak. Tentu ada ikan di situ. Aku alihkan pemandanganku ke pohon-pohon itu kembali.
Kelihatan seekor burung raja udang yang hinggap di sebatang pokok. Tiba-tiba ia terbang laju diikuti oleh pasangannya yang muncul entah dari mana. Aku lihat dahan-dahan bergoyang dari pohon yang dihinggapi oleh burung itu. Kelihatan sekawan monyet bergerak berhayunan dari dahan ke dahan pepohon. Oh, patutlah burung-burung itu terbang pergi.
Teleskop itu aku halakan pula ke atas. Kelihatan tompokan awan hitam berarak datang tanda hari hendak hujan. Aku menoleh ke dalam. Ke mana perginya ayahku? Mungkin dia sudah turun ke bawah. Perlahan-lahan aku menyusuri bilik itu. Niatku hanya untuk melihat-lihat keadaan bilik itu sebelum turun ke tingkat bawah.
Meskipun bilik itu belum benar-benar kemas, aku lihat terdapat fail-fail di kiri dan kanan meja itu. Mataku tertarik bila terpandang perkataan Gemilang Sdn. Bhd. yang tertera di hadapan sebuah fail yang paling atas. Sebaik sahaja aku ingin mencapainya kedengaran suara batuk ayahku. Mataku terus terarah ke dinding.
Bila aku hampiri, aku terpandang tombol pintu di dinding yang paling kanan. Tombol pintu gelongsor itu aku tarik perlahan. Rupanya ada sebuah bilik kecil di situ. Dan ayahku ada di dalam bilik itu. Dia sedang solat. Segera aku terpandang sebuah bilik air kecil. Aku bergegas masuk ke dalam untuk mengambil wuduk kerana aku pun masih belum menunaikan kewajipan solat Asar.
6
“MACAM mana dengan kursus Iz?” tanya ayahku sebaik sahaja aku turun ke tingkat bawah setelah solat Asar.
“Bagus. Unik. Mula-mula tak minat dan rasa macam nak balik aje. Kawan-kawan Izu pun ajak balik. Tapi kita orang akhirnya hendak give it a try. And it was a good experience. Terima kasih, abah.” Jawabku.
Aku duduk di atas kotak seperti juga ayahku di ruang tamu. Di antara kami terdapat piring pisang goreng, teko dan kole yang dia sudah bawa dari dapur. Ia juga terletak di atas kotak yang dijadikan meja. Ingatanku segera terimbau akan pertemuanku dengannya bersama ibu di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor. Itulah pertemuan pertama aku dan ayah sejak dia meninggalkan kami sedari kecil lagi.
“ABAH hendak beri kau satu hadiah yang istimewa sempena harijadi kau.” Kata ayahku sebaik sahaja pelayan mengalihkan pinggan-pinggan makan dari meja kami. Aku menjeling sekilas terhadap emak yang baru kembali ke meja makan kami.
Di tangannya terdapat dua mangkuk. Semangkuk diletakkannya di hadapan ayahku. Oh, begini agaknya emak melayani ayah. Tanpa dipinta pun dia terus mengambil kuih pembasuh mulut dari meja hidangan di tengah-tengah Restoran Paya Serai itu sebagai pembasuh mulut.
Ayah mengangguk sekali sambil tersengih lebar ke arah ibuku bila wanita itu meletak dua mangkuk sago gula melaka di hadapan kami. Tetapi ibuku hanya membalas sengihan itu dengan secalit senyuman. Dia masih membataskan hubungannya dengan ayahku. Tidak mahu lebih-lebih.
“Oleh kerana kau sudah habis belajar dan akan bercuti panjang, abah akan sponsor kau untuk pergi ke satu tempat menarik selama seminggu. Kau boleh bawa kawan-kawan baik kau untuk merehatkan minda. Ha, ini hadiah dari abah kali ini.”
Aku hampir tak percaya dengan ucapannya. Bagus juga cadangannya. Hatiku melonjak gembira. Namun di wajahku, aku masih menampilkan keselambaan. Aku lebih banyak mematungkan diri untuk menyembunyikan keriangan itu.
Sejak aku menuntut di UiTM dia mula menghubungi kami sekeluarga dan ingin merapatkan dirinya dengan kami. Dia membantu kami setiap bulan. Katanya dia memberi nafkah. Tetapi jumlahnya jauh melebihi setakat nafkah.
Sejak tiga tahun kebelakangan ini juga dia mula memberi hadiah-hadiah untuk hari lahirku. Bukan hadiah-hadiah seperti yang emak beri. Sebaliknya aku mendapat komputer bimbit, Kancil dan kini pula percutian. Percutian?
DAN bila bas berhenti di sebuah banglo di Janda Baik dan munculnya Encik Ghazali di laman, barulah aku tahu bahawa aku dan kawan-kawanku akan menyertai sebuah kursus bina insan, bukannya bercuti untuk suka-suka. Berkursus pula bersama dengan mereka yang tidak aku kenali. Ah, rasa bosan tiba-tiba menjelma ketika itu.
“ENCIK Ghazali tu kawan abah.” Suara ayahku mematikan lintasan lamunanku. “Kami kenal ketika beliau bertugas di Jabatan Penuntut Malaysia di London. Abah berkenalan dengan dia ketika kami kebetulannya makan semeja di restoran Pakistan.
Bila dia kembali ke Malaysia, dia selalu hubungi abah. Setelah abah pula balik ke mari, dia adalah antara orang yang pertama abah hubungi. Rupa-rupanya dia dah berhenti bekerja dengan kerajaan dan membuka sebuah training farm.”
Aku menanti ayah menyambung ceritanya. Aku sedar dia menjeling kepadaku. Aku jangka dia bukannya hendak menyambung cerita, tetapi dia nampaknya hendak menyatakan sesuatu. Agaknya dia hendak ke tajuk utama tujuannya memanggil aku menemuinya pada petang ini.
“Err.. what’s your plan, Izu?” Dia bersuara memecah kesunyian.
“No plans yet. Saya nak rehat dulu sementara menanti keputusan exam.” Jawabku ringkas.
Terangkat keningnya bila mendengar jawapanku.
“Tak hendak kerja? Cari pengalaman?”
Aku menggeleng. “Makan, tidur, makan, tidur ajelah, abah. Bila keputusan keluar, barulah saya pilih kursus apa dan di mana saya hendak sambung belajar.”
Dia pula menggeleng. “Gitu-gitu aje, ke? Engkau macam tak serius dengan masa depan kau.”
Aku terduduk tegak mendengar kata-katanya. Darahku tiba-tiba menyirap. Tapi aku tidak memandangnya sebagai tanda hormat.
“Apa maksud abah?”
“Success is by design, not by accident. Kejayaan hidup itu mesti dirangka. Kejayaan hidup bukan kebetulan.” Dia berhujah.
“Saya tak faham apa yang abah cakapkan ni.” Aku mengeluh sekali.
“Engkau mesti bekerja sementara menanti keputusan. Mana boleh makan, tidur, makan, tidur aje. Bekerja boleh jadikan Izu tahu susah senang hidup. Tahu erti penat lelah mencari sesuap nasi. Kalau terjadi apa-apa, kamu sudah bersedia.
Kalau kau anggap keputusan kau mesti baik kerana rekod prestasi belajar kau selama ini, itu tak betul. Mana tau engkau dapat keputusan buruk. Oleh itu kenalah bersedia dengan pengalaman bekerja. Mana boleh makan tidur aje jadi penganggur terhormat.” Jawabnya perlahan.
“C’monlah abah... salah ke saya berehat setelah penat menghadapi peperiksaan akhir? Bila lagi saya boleh rehat setelah saya mula sambung belajar nanti?”
“Engkau tak sepatutnya berehat. Itu mentaliti budak sekolah!” katanya tenang. Tapi hatiku makin terbakar.
“Budak sekolah? Tadi abah kata saya penganggur terhormat. Sekarang abah kata saya bermentaliti budak sekolah. Eh, apa ni?” Aku mula berdiri sebaik sahaja menyudahkan kata-kata itu.
“Duduk, Izu. Tak baik cakap macam tu pada abah. Lagipun abah bukannya mengutuk kau. Dengar dulu pandangan abah, ni.” Dia cuba menenangkan aku. Aku duduk kembali. Tetapi kali ini punggungku hanya berlabuh di hujung kotak. Aku tak mahu menyelesakan diri. Entah apa lagi akan ayahku katakan selepas ini.
“Dari zaman persekolahan kita diberi cuti penggal. Selepas peperiksaan ada cuti panjang. Kalau penghujung tahun, kita diberi rehat sampai berminggu-minggu. Sampai ke sekolah menengah, musim cuti panjang selepas peperiksaan masih ada. Oleh itu fikiran kita sudah sebati dengan mentaliti... kalau habis sahaja peperiksaan, mesti rehat. Bila cuti sekolah saja, kita makan... tidur, makan... tidur.
Kalau sewaktu kecil, kita makan, tidur semasa cuti, tak mengapalah. Tapi kalau dah besar panjang begini, dah tak sesuai. Kita mesti bersedia untuk menghadapi dunia pancaroba di alam nyata. To chart ones life. To meet the challenges. And to surf against the winds of change. Lagipun...”
“Saya tak hendak dengar al-kuliyyah abah!” Pintasku walaupun aku terpandang yang ayahku ingin lagi menyambung khutbahnya. “Kalau abah panggil saya ke mari untuk beri tahu semua ini, pakai e-mel pun boleh!”
“Abah hanya nasihatkan kau aje.”
“Hek eleh! Who are you, abah? Abah menghilang dari hidup kami sejak saya kecil... sejak Aza lahir. Tiba-tiba abah muncul kembali dalam hidup kami dengan segala macam huluran material. Abah hendak membayar balik hutang kasih? Abah hendak membeli jiwa?
Abah hendak nasihatkan saya hari ini pulak seolah-olah mak tak didik kami selama ini. Selama ini mak yang bina kami menjadi manusia. Mak yang ajar kami erti susah. Erti jimat belanja.
Di waktu budak-budak lain pergi sekolah dengan wang belanja, saya dan Aza ke sekolah dengan tiga keping biskut saja untuk alas perut. Di waktu budak-budak lain makan mi, makan nasi lemak, saya dan Aza tak dapat rasa semua itu!
Saya masih ingat terkelip-kelip mata Aza bila melihat budak-budak lain makan dengan gembira sedangkan dia hanya makan biskut mayat! Saya mengerti erti susah, makna derita. Justeru itu, saya tak perlukan nasihat abah.” Aku menghamburkan apa yang sebenarnya bertakung di mindaku.
"Izu... calm down..."
“Atau abah mahu saya bekerja supaya saya dapat bayar instalment kereta yang abah berikan kepada saya tu ke? Kalau itulah tujuan abah, you can have it back! I don’t need it!” Dalam keadaan emosional, aku boleh melalut menuduhnya begitu. Aku terasa yang aku terlebih cakap. Kata telah terhambur. Biarkan sahajalah!
“Don’t speak to me like that. I would never speak to my own father like that.” katanya masih dengan nada bertenang.
“You can say that because you don’t have a father like I do!”
Dengan kata-kata itu aku bangkit dan melangkah keluar dari rumah itu. Dentuman daun pintu adalah kesimpulan kepada seluruh maksud kata-kataku itu.
7
HUJAN gerimis mula gugur membasahi bumi. Titik-titik halus mula menampar permukaan jalan. Sebentar lagi, bintik-bintik halus itu akan bercantum. Bila titik-titik halus itu menjadi kasar, ia akan berkumpul untuk mengalir mencari kawasan rendah. Debu dan habuk akan dibawa bersama. Jika banyak, daun-daun kayu pun boleh diheret.
Aku membalikkan topi besbolku ke hadapan. Seperti remaja lain, bahagian pelindung cahaya mentari akan kubiarkan di bahagian belakang kepala dalam keadaan biasa. Jika terlalu panas atau hujan, baharulah pelindung cahaya mentari itu aku pusingkan ke hadapan untuk menampan cahaya mentari atau hujan seperti kini.
Aku mendongak. Hanya pepohon kayu yang kelihatan menutupi hampir ke seluruh permukaan jalan. Pucuk-pucuk dedaun kayu itu tidak bercantum. Keadaannya membelok dan melentuk mengikut keadaan jalan yang kulalui. Seolah-olah terdapat sebuah jalan pula di atas kepalaku.
Kedengaran bunyi desah hujan dari arah belakang. Aku menoleh dan bersedia untuk berlari untuk mencari kawasan teduh. Mujurlah bunyi itu terhenti. Kemudian bunyi mendesah itu datang lagi dan sekejapan pula berhenti. Seperti bergurau pula denganku.
Aku menyusur jalan kecil itu. Langkahku tidaklah pantas kerana aku sendiri tak tahu ke manakah arah tujuanku. Namun yang pasti, aku semakin menjauhi rumah banglo itu. Sambil menapak, terngiang-ngiang kembali suara ayah dan diriku tatkala bertengkar sebentar tadi.
Lancangnya lidahku. Mengapa aku berkata begitu? Dia belum lagi menyatakan sebab utama dia memanggilku menemuinya. Ayahku baru sahaja prolog, aku sudahpun lakukan epilog. Rasa kesal mula menjelma.
Benar, dia telah pergi meninggalkan kami dan aku amat simpati kerana ibuku menderita selama ini. Itulah yang menimbulkan rasa meluat aku bila semakin sehari dia semakin ingin menunjukkan sikap prhatinnya. Memang dia muncul semula untuk menebus dosa, untuk membela kami. Ibuku nampaknya tidak memusuhi ayah. Sebaliknya dia melayan ayah seperti seadanya. Mengapa aku pula yang sebaliknya?
SUARA hujan yang menimpa dedaun kayu dari atas kepalaku tiba-tiba semakin kuat. Hujan mulai lebat. Aku berlari sambil mataku melingas mencari tempat berteduh. Aku terpandang sebuah pohon besar yang mempunyai banir yang melekuk ke dalam. Itulah tempat sesuai untuk aku menyelitkan diri dari hujan yang semakin lebat.
Baru sahaja aku menghampiri pohon itu, tiba-tiba petir berdentum. Aku langsung membatalkan niatku kerana berbahaya berlindung di bawah pohon ketika ribut petir. Bintik-bintik hujan mula bertukar menjadi kasar. Air mula kelihatan menitik dari hujung topi besbolku. Baju-T yang kupakai mula lencun. Kasutku mulai lembab. Kesejukan mula menjalar. Kalau aku tak menemui tempat berlindung, tubuhku yang basah ini akan menggigil.
Terlintas di fikiranku untuk berpatah balik ke rumah ayah. Rasa kesal timbul kembali. Sepatutnya aku bersikap selamba melayani celotehnya dan mendengar apa yang ingin disampaikannya. Ya, sepatutnya aku kembali ke banglo itu. Ah, biarkanlah. Sudah malas aku melayani orang tua itu. Aku tertoleh ke belakang bila terpandang imbas cahaya menyinari pokok-pokok di hadapanku. Ada sinar lampu kenderaan.
Sekejapan, bayang sebuah kereta menjelma dari selekoh. Sambil memeluk tubuh kerana mula rasa kesejukan, aku terdiri di bahu jalan. Bila aku amati, benar seperti harapanku. Kereta Honda CR-V. Itulah kereta pacuan empat roda pakcik yang membawaku ke mari.
Lebatnya hujan dapatku lihat dari kedua-dua cahaya lampu hadapan kereta itu. Seperti yang kujangka juga, kereta itu semakin perlahan bila menghampiriku. Tanpa membuang masa aku membuka pintu belakang kenderaan dan segera menghumbankan diri.
“Pakcik, hantar saya balik ke PJ! Buang masa aje pakcik bawa saya ke sini!”
Lelaki itu tidak menjawab. Sebaliknya secara spontan beliau terus membuat pusingan U. Kerana jalan itu tidak lebar, kenderaan itu terpaksa diundur sekali sebelum dapat meluncur mendaki bukit menghala kembali ke banglo itu. Keadaannya yang terhenggut-henggut itu membuatkan aku terhumban ke sana ke mari. Berpinar seketika pandanganku.
“Apa ni pakcik? Saya tak hendak balik ke rumah tu!”
Lelaki itu menoleh.
“Lepas solat Maghrib berjemaah, barulah pakcik hantar engkau balik!”
Aku ingin membantah tetapi tak jadi bila menyedari bahawa ‘pakcik’ itu adalah ayahku!
- Tamat setakat fragmen ini -
Dapatkan DEKAT DI HATI di kedai-kedai buku berhampiran. RM17.00 sahaja.
Dapatkan keterangan lanjut dengan melayari www.alaf21.com.my
SELAMAT MEMBACA
Eyman Hykal
Kembali ke laman eymanhykal di
http://www.eymanhykal.bravehost.com
